29 June 2011

pluraliti di malaysia : hargai sebelum terlambat




laa ikraha fiddin. telah jelas kebenaran daripada kebatilan...




sebanyak-banyak selawat di panjatkan kepada yang berhak menerima selawat. seikhlas-ikhlas salam diberikan kepada yang berhak menerima salam. puji-pujian kepada yang berhak menerima puji, dan laknat tuhan kepada mereka-mereka yang berhak menerima laknat.




pluraliti di malaysia sebenarnya bukan isu baru. sejak kita mencapai kemerdekaan, isu ini telah diulang tayang berulang kali, baik daripada sudut positif mahupun negatif. komposisi malaysia yang unik telah membantu mempromosikan malaysia di mata dunia. jarang-jarang wujud sebuah negara yang komposisinya pelbagai tapi hidup aman damai seperti di malaysia. hampir semua negara berkomposisi pelbagai mempunyai konflik antara etnik, tetapi tidak malaysia.dengan pengecualian kepada peristiwa 13 mei, kita berjaya memecahkan tradisi konflik etnik yang sepatutnya terjadi kepada negara berbilang etnik.




namun, dewasa ini, kebimbangan ke arah itu mulai wujud. satu demi satu kes yang melibatkan sensiviti kaum mula timbul. perhimpunan hindraf, pembakaran gereja, suruhanjaya antara agama, lina joy, interlok, peruntuhan kuil, pembinaan kandang babi, dan macam-macam lagi. semua isu ini membabitkan isu perkauman - sesuatu yang kita semua telah selesaikan lama dahulu. mengapa semua perkara ini terjadi?




kefahaman



terdapat tanda-tanda yang jelas di dalam masyarakat malaysia hari ini akan kurangnya kefahaman terhadap keperluan etnik-etnik yang lain. orang melayu, cina dan india gagal memahami keperluan satu sama lain. kegagalan ini mungkin disebabkan beberapa faktor, akan tetapi faktor yang jelas ialah kurangnya didikan awal daripada keluarga tentang peri pentingnya mengenal etnik lain selain etnik sendiri di malaysia. didikan keluarga amat penting. ibu bapa khususnya, harus memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang 'pantang larang' di dalam masyarakat malaysia. kita selaku negara yang berbilang kaum, punya diversiti, punya kepelbagaian, tidak dapat tidak akan mempunyai beberapa 'pantang larang' yang perlu dipatuhi, demi menjamin keamanan dan kestabilan sesama kumpulan etnik.






 toleransi



 kebanyakan masyarakat hari ini kurang faham akan maksud disebalik toleransi. apakah makna toleransi? apakah makna tolak ansur? tolak ansur bermaksud kita berlebih kurang. apakah maksud berlebih kurang? maksud berlebih kurang ialah, kita, di dalam satu komuniti yang pelbagai, haruslah memaafkan segala perlanggaran hak yang tidak signifikan bagi mengekalkan keharmonian yang lebih besar. tidaklah mungkin bagi kita rakyat malaysia untuk menguatkuasakan sepenuhnya hak kita tanpa melanggar hak orang lain.



 saya mengambil contoh, kata-kata seorang yang berketurunan cina yang meminta supaya laungan azan diperlahankan. permintaan ini jelas berlanggar dengan keperluan orang melayu yang sinonim dengan islam, iaitu seruan azan. azan itu memang tujuannya memanggil masyarakat islam supaya menunaikan solat, oleh itu memang keperluannya untuk dilaungkan dengan kuat. memanglah sedikit mengganggu masyarakat bukan islam, tetapi itulah perlunya toleransi. disinilah tolak ansur memainkan peranan. apakah tindakan masyarakat cina berniaga daging babi di pasar tidak mengganggu sensitiviti muslim di malaysia? apakah penjualan arak di kedai serbaneka tidak mengganggu masyarakat melayu di malaysia? apa perasaan kaum cina di malaysia sekiranya, atas alasan yang sama, iaitu mengganggu, masyarakat melayu muslim di malaysia menuntut mercun dan tarian singa diharamkan pada tahun baru cina? apa perasaan orang india jika orang cina meminta supaya thaipusam di adakan di rumah sahaja atas alasan mengganggu lalu lintas? sekiranya kita masing-masing berkeras tidak mahu bertolak ansur, tiada siapa pun yang dapat mengamalkan ajaran masing-masing kerana akan sentiasa berlanggar dengan hak sesuatu masyarakat. azan orang melayu menggangu tidur cina dan india. thaipusam india mengganggu lalu lintas cina dan melayu. daging babi di pasar mengganggu keyakinan orang melayu. cuba bayangkan kalau orang cina berkeras mahu thaipusam dihadkan. orang melayu mahu babi diharamkan pengeluaran dan penternakan. orang india mahu azan diperlahankan. dan kita semua tidak mahu bertolak ansur sedikit pun. apa akan jadi? rasa-rasa apa akan jadi?










                    PERANG!!!





ya, perang! harus diingat, nilai agama dan etnik adalah nilai yang sangat tinggi dipegang oleh mana-mana orang, dan manusia sanggup mati demi mempertahankan nilai ini. tidak kira melayu, cina mahupun india, andai nilai ini disekat atau diganggu, mereka tidak akan berdiam diri. semua orang akan berjuang bermati-matian mempertahankan hak masing-masing. melayu bunuh cina, cina bunuh india, india bunuh melayu. inilah yang terjadi semasa 13 mei. bukan ekonomi puncanya. bukan politik puncanya. orang melayu tak kisah kalah pilihanraya. tapi bila orang cina maki hamun orang melayu kat kampung baru dan menyentuh sensitiviti mereka, mereka marah dan membuat rusuhan, dan orang cina menyerang balas dengan perbuatan yang sama. dan akhirnya malaysia berada di dalam tempoh darurat untuk suatu tempoh yang agak lama, mengorbankan harta dan nyawa yang tidak terhitung nilainya. wahai melayu, cina dan india, lihatlah! lihatlah apa yang berlaku sekiranya tiada tolak ansur di dalam hidup bermasyarakat.






pengajaran



peristiwa 13 mei sebenarnya banyak mengajar kita tentang erti tolak ansur. erti jaga mulut. erti sopan santun. erti sensitiviti. terlalu mahal harga yang kita bayar semata-mata untuk menyedari kepentingan bertolak ansur dalam hidup bermasyarakat plural. nenek moyang kita, kalau depa hidup balik, mesti menangis tengok kita tak hargai "kelas tuisyen" yang mereka dah bagi kat kita dengan harga darah dan nyawa. ini bukan soal melayu. ini bukan soal cina. ini bukan soal india. ini soal hidup. semua orang mahu hidup. semua orang mahu aman. semua orang mahu harmoni. apa salah ke kalau tidur kita selaku cina dan india terganggu sedikit demi memenuhi keperluan saudara melayu kita? salah ke kalau kita selaku melayu pejam mata sikit kat daging babi yang dijual di pasar demi memenuhi hak saudara cina kita? salah ke melayu dan cina bersabar sikit kat traffic light semasa perayaan thaipusam demi memenuhi keperluan saudara india kita? apa ruginya? masalahnya bila kita tak menganggap satu sama lain sebagai saudara senegara. kita tak rasa semangat kekitaan dengan etnik lain. ini yang menyebabkan kita tak ada rasa ingin bertolak ansur antara satu sama lain.






sensitiviti


rakyat malaysia, selaku manusia yang berakal seharusnya bijak membezakan di antara hakikat yang terjadi dengan hakikat yang sebenar. apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu, tidak sama sekali mewakili agama atau etnik yang dianutinya. semua ajaran agama dan ajaran etnik menyuruh kepada kebaikan. lantas, sekiranya seseorang individu melakukan kejahatan, kejahatan yang dilakukan bukanlah disebabkan ajaran agama mahupun etnik, akan tetapi disebabkan kedangkalan ilmu individu itu sendiri. kita ambil contoh, kes pembakaran gereja oleh individu dipercayai orang melayu. bagaimana kita memandang pesalah ini? adakah "seorang melayu", "seorang islam" ataupun seorang lelaki yang melakukan kesalahan? islam tidak pernah mengajar umatnya membakar rumah ibadat penganut lain. melayu juga tidak mengajar kaumnya membakar sana sini. jadi siapa yang menyuruh pesalah itu membakar gereja? ilmunya. kedangkalan ilmunya yang menyebabkan dia bertindak sedemikian, bukan melayunya, atau islamnya. ketika dia melakukan perbuatan tersebut, dia telah ingkar terhadap ajaran islam dan tatacara orang melayu. kedangkalan ilmu dan nafsunyalah yang mendorong dia berlaku sedemikian. begitu juga dengan kes penghinaan solat oleh remaja kristian di sabah. ajaran kristiankah yang salah? negeri sabahkah yang salah? gerejakah yang salah? atau kedangkalan ilmu remaja itu yang salah? tentu sekali kekurangan ilmu remaja itu yang mendorong dia berkelakuan sedemikian. maka yang harus dihukum ialah remaja itu, bukan kristian mahupun etnik sabah. ini adalah isu-isu sensitif yang, jika tidak bijak ditangani, boleh mencetuskan perang saudara. rakyat malaysia harus sedar, bahawa ketika timbul sesuatu isu sensitif, perkara pertama yang perlu ada ialah ketenangan. tenang. jangan melenting. kaji dahulu setiap isu yang timbul. kemudian bersikap rasional. kaji rasional setiap isu itu timbul. adakah ia satu propaganda? ataupun ia satu bentuk hasutan yang sengaja ditimbulkan? ini yang harus dikaji dahulu sebelum bertindak melulu.







harmoni: nikmat yang mahal



aku sangat bersyukur dilahirkan di bumi malaysia yang bertuah. aku sangat bersyukur dikelilingi oleh kawan-kawan daripada pelbagai latar etnik dan agama. aku gembira mempelajari keunikan budaya di malaysia. mesti bosan kalau seluruh negara hanya sambut hari raya je. bukankah Allah menciptakan kita dari suku-suku dan bangsa-bangsa yang berbeza untuk saling mengenali? inilah nikmat hidup. bertaaruf antara satu sama lain. ketika orang lain bersusah payah merantau ke negara orang untuk mempelajari tentang etnik lain, kita di malaysia hanya perlu melangkah ke luar rumah dan terlihatlah diversiti yang mengagumkan di depan mata. sememangnya kita manusia yang tidak tahu bersyukur kepada tuhan masing-masing sekiranya nikmat ini kita musnahkan hanya kerana ego dan dan keras kepala. jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata berapi orang politik, kerana bila perang saudara dah mula nanti, orang-orang politik ni sume lari pegi luar negara, tinggal kita kat dalam negara yang berparang berkapak.







0 Respon:

Post a Comment